JEC capai sasaran pelaburan AS$30b
November 6 2008 -
Berita Harian
MMC International, pemaju utama bersama projek pembangunan Jazan Economic City (JEC) di Arab Saudi, semalam mengumumkan projek itu sudah mencapai sasaran pelaburan bernilai AS$30 bilion, hanya dalam tempoh dua tahun.
MMC International yang juga anak syarikat MMC Corporation Bhd membangunkan projek bernilai AS$30 bilion itu dengan Saudi Binladin Group (SBG) dari Arab Saudi untuk disiapkan dalam tempoh 25 tahun.
MMC dalam kenyataan semalam berkata, bentuk pelaburan di JEC termasuk bagi pembinaan pelabuhan bernilai AS$1.4 bilion, loji kuasa (AS$5 bilion) serta industri berat membabitkan pembinaan loji melebur aluminium (AS$3.6 bilion), kilang keluli (AS$2 bilion) dan loji penapisan minyak (AS$12 bilion).
JEC juga akan mempunyai industri sekunder seperti kilang keluli bernilai AS$500 juta, automotif (AS$200 juta) dan industri pembinaan kapal bernilai AS$900 juta.
Kelmarin, MMC Ports, SBG dan JEC Ltd, milik bersama MMC dan SBG memeterai perjanjian persetujuan bagi membangunkan pelabuhan di JEC yang akan menjadi pemacu kegiatan kepada komersial di JEC.
Pelabuhan yang terletak di kawasan strategik di Laut Merah itu bakal menjadi penghubung yang akan memudahkan laluan perjalanan kapal ke Eropah, Afrika dan Asia.
Menjelang akhir tahun ini, JEC juga akan menganugerahkan kontrak bagi pembinaan jalan utama serta kompleks perumahan bersepadu di kawasan berkenaan.
Kelmarin, pemaju utama JEC itu turut memeterai perjanjian pembangunan projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan syarikat ICT multinasional bagi melengkapkan keseluruhan projek itu dengan kemudahan ICT terkini.
Selain itu, MMC International, SBG dan Aluminum Corporation of China Ltd (Chalco) kelmarin memeterai surat hasrat (LOI) dengan CPI Power Engineering Co Ltd dari China bagi memulakan pembinaan loji kuasa yang akan membekalkan tenaga kepada kilang melebur aluminium di JEC.
Pembinaan loji berkenaan membabitkan kos AS$2.5 bilion dan mempunyai keupayaan 2,400 MegaWatt bagi membekalkan kuasa elektrik pada harga berdaya saing untuk kilang melebur aluminium yang mempunyai pengeluaran tahunan kira-kira satu juta tan itu. Ketua Eksekutif, MMC International, Feizal Ali, berkata pembinaan loji kuasa dan kilang melebur aluminium itu akan dimulakan tahun depan untuk disiapkan pada 2013.
“Pelaburan MMC dalam projek berkenaan akan memastikan perolehan pendapatan berterusan kepada syarikat apabila loji berkenaan mula beroperasi,” katanya.
|